Thursday, July 23, 2009

Kematian Pada Hari Jumaat

Salam,

Pagi ini saya dikejutkan dengan berita kematian isteri seorang jiran, yang sudah beberapa hari koma di dalam wad ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan sejak minggu lepas.

Allahyarham mengalami penyakit berkaitan hati, yang sudah agak lama dihidapinya.

Apabila berjalan kaki untuk menuju ke surau, terpandang timbunan pasir dan bata-bata di hadapan rumah, mungkin pasangan jiran saya itu ingin membuat 'renovation' terhadap rumah mereka.

Namun ketentuan Allah telah tiba, si isteri telah meninggalkan suami dan keluarga untuk selama-lamanya, menuju ke alam baqa.

Teringat hadis Nabi SAW berkenaan kematian pada hari Jumaat;

Daripada Abdullah bin Amr r.a. berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda:

"Tidaklah daripada seorang muslim yang mati pada hari atau malam Jumaat, melainkan dia dipelihara Allah daripada fitnah kubur"

Hadis riwayat Tarmizi

Semoga ruh beliau dicucuri rahmat Ilahi. Sesungguhnya, setiap yang mati itu akan terus diperlihatkan tempat tinggalnya di akhirat kelak, sebagaimana hadis berikut;

Hadis riwayat Ibnu Umar ra.:

Bahwa Rasulullah saw. bersabda: Sesungguhnya apabila seorang di antara kamu sekalian mati akan diperlihatkan tempatnya setiap pagi dan sore. Jika ia termasuk ahli syurga, maka akan diperlihatkan syurga, kalau termasuk ahli neraka, maka akan diperlihatkan neraka, lalu dikatakan: Inilah tempatmu nanti bila Allah telah membangkitkanmu di hari kiamat

Nombor hadis dalam kitab Sahih Muslim [Bahasa Arab saja]: 5110

(rujukan disini)

Untuk kita yang masih bernyawa, persiapkanlah diri kita dan keluarga sebaik-baiknya, kerana kematian itu adalah kepastian untuk setiap yang bernyawa..al-Fatihah.


Ya Allah, tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus...

Wednesday, July 22, 2009

Sebuah Kelahiran








Salam,

Semua orang biasanya mengingati tarikh lahir masing-masing, dengan adanya sijil kelahiran, MyKid dan juga MyKad apabila dewasa. Sistem nombor MyKad itu sendiri memudahkan tarikh lahir diketahui.

Namun, tahukah kita bila agaknya tarikh akhir kita menjadi penghuni alam fana ini? Di manakah kita akan mati? Bagaimanakah kita akan mati? Sedarlah, tiada lagi kematian kedua selepas kematian ini, melainkan menikmati kebahagian sejati di syurga, ataupun kesengsaraan yang tidak terperi di dalam neraka Allah.

Persoalan ini sudah pasti tidak terjawab, melainkan bila tiba saatnya nanti. Penuhilah kehidupanmu, wahai diri, untuk membuat persiapan dengan bekalan amal soleh sebanyak-banyaknya. Sesungguhnya, yang bernilai disisi Allah swt, hanyalah nilai ketaqwaan dirimu.

Kepentingan Mengingati Mati
Hadith :
Dari Abu Sa'id r.a katanya: (Pada suatu hari) Rasulullah s.a.w masuk ke tempat sembahyangnya, lalu dilihatnya beberapa orang sedang gelak ketawa, Baginda s.a.w pun menegur mereka dengan bersabda: "Ketahuilah! Sesungguhnya kalau kamu banyak menyebut dan mengingati perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan tentulah peringatan mengenainya akan menghalang kamu daripada melakukan apa yang aku lihat ini, maka hendaklah kamu selalu mengingati dan menyebut perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan, iaitulah maut, kerana sesungguhnya pada tiap-tiap hari kubur menyeru, katanya: "Akulah rumah dagang, akulah rumah yang sunyi sepi, akulah rumah yang penuh dengan tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat". Maka apabila hamba Allah yang mukmin dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Dipersilakan dengan segala hormatnya! Ketahuilah sebenarnya adalah engkau - kepada ku - sekasih-kasih orang yang berjalan atas ku, oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepadaku pada hari ini, maka engkau akan melihat layananku kepadamu'; Kubur itu pun menjadi lapang baginya seluas mata memandang, serta dibukakan baginya sebuah pintu ke Syurga, (lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan udaranya, serta ia dapat mencium dari baunya yang semerbak harum dan merasa senang hati dari segala yang dilihatnya dalam Syurga itu). Dan sebaliknya apabila oarang yang berdosa atau orang kafir dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Tidak layak engkau disambut dan dipersilakan; ketahuilah sebenarnya engkau - kepada ku - adalah sebenci-benci orang yang berjalan atasku; oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepada aku pada hari ini, maka engkau akan melihat apa yang aku buat kepadamu". Nabi s.a.w bersabda lagi: "Kubur itupun mengepitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w , (sambil bersabda menerangkan yang demikian, lalu Baginda s.a.w) memasukkan jari-jari sebelah tangannya dicelah jari-jari yang sebelah lagi, kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi: "Dan dilepaskan kepada orang itu tujuh puluh ekor ular besar yang kalaulah seekor di antaranya menghembuskan nafasnya di bumi nescaya tidak akan tumbuh sesuatu pun dari tumbuh-tumbuhan atau tanaman selagi dunia ini masih wujud, kemudian ular-ular itu akan mematuk-matuknya dan meluka-lukakannya sehingga ia dibawa untuk dihisab (dan menerima balasan)". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w bersabda lagi: "Bahawa sesungguhnya kubur itu adalah sebuah taman dari taman-taman Syurga atau sebuah gaung-gaung Neraka".
Abu Sa'id r.a